Post by admin™ on Jul 15, 2007 6:25:35 GMT -5
MENGARANG dan menjadi pengarang di Malaysia merupakan pilihan kedua dan mungkin kelima atau keenam bagi sebahagian besar rakyat negara ini. Alasan yang yang dikemukakan sangat mudah. Berapa ramaikah rakyat negara ini yang sudi membaca karya-karya sastera Melayu. Sanggupkah mereka “membuang masa” sedangkan sumber hiburan lain lebih banyak.
Perkembangan kesusasteraan mutakhir memperlihatkan beberapa penulis muda berbakat besar seperti Azman Hussin, Anjang Ahzana dan Saroja Theavy Balakrishnan sama sekali menyepikan diri dari arus perdana sastera tanah air.
Azman Hussin sebagai contoh yang paling mudah. Beliau merupakan penulis yang sangat baik dan lahir daripada pengalaman serta kesungguhan untuk berjaya dalam dunia sastera sejak penghujung 1990-an.
Beliau dianggap sebagai generasi penerus selepas angkatan penulis seperti Zainal Palit (Zaen Kasturi), SM Zakir, Samsudin Othman, Ana Balqis, Amaruzati Noor Rahim, Mohd. Azlee Lee dan beberapa lagi.
Azman dalam kepengarangannya menampilkan sesuatu yang segar dan baru dalam kesusasteraan. Mungkin dapat disebut sebagai ciri-ciri karya pascamoden yang dilihat mengutarakan penyimpangan, khususnya, tema, idea dan gaya penulisan.
Estetika bahasa dan bentuk-bentuk konvensional sastera sebagai sesuatu yang indah, harmoni dan mendamaikan sama sekali ‘terpinggir’ dalam tulisan-tulisannya.
Sebaliknya, Azman menonjolkan imej-imej ‘pemberontakan’, pencarian dan pengembaraan psikologi yang luar biasa dengan memanfaatkan pelbagai isu semasa - penagihan dadah, pelacuran, masalah Asia Barat dan sebagainya.
Melalui antologi persendirian Dongeng Pascamerdeka beliau mencipta nama sebagai penulis berbakat. Setiap tulisannya juga antiklise dengan menampilkan watak-watak yang neurosis, pemberontak dan emosional.
Neurosis dipaparkan menerusi watak-watak protagonis yang protagonis dalam kebanyakan cerpennya sentiasa gelisah dan tidak menentu seperti dalam Nyamuk Oh Nyamuk, Gemilang Cinta Erra Nazira, Surat Kepada Rausyanfikr, Mencari Godot, Khayali, Manusia Oh Manusia dan Korban serta kumpulan puisi Candu.
Kesemua watak itu merupakan eskapis daripada tekanan kehidupan. Oleh itu, semua watak dalam setiap karyanya penuh dengan kemurungan, memberontak dan sering kali membenci institusi atau struktur masyarakatnya.
Pendekatan dan gaya penulisannya yang dianggap masih terlalu baru dalam kesusasteraan Malaysia sebenarnya diterima dengan baik oleh khalayak sastera.
Buktinya, menerusi antologi cerpennya Dongeng Pascamerdeka, beliau meraih hadiah utama kategori Kumpulan Cerpen Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 1998/
1999.
Azman turut memenangi hadiah utama bagi kategori Cerpen Eceran di HSPM 2002 menerusi Tahun Depan di Jerusalem dan pada tahun yang sama beliau turut memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil (HSKU) 2002.
Namun, yang menjadi pertanyaan seluruh khalayak sastera serta pengarang-pengarang seangkatan ialah, ke mana menghilangnya Azman sebagai pengarang prolifik?
Merajukkah beliau dengan sastera Malaysia yang sentiasa miskin dengan pembaca atau kecewa dengan kerenah birokrasi yang terlalu berbelit-belit dalam penerbitan oleh agensi kerajaan?
Kali terakhir karyanya disiarkan oleh media ialah pada 2003 dan sejak itu tidak ada lagi ‘kehebatan’ karyanya dapat ditatap dan dihayati.
Karya-karya Azman mengingatkan pembaca kepada bertapa luasnya cakupan sastera itu sendiri. Daripada sebuah karya yang mendamaikan kepada tulisan yang eskapis daripada belenggu emosi.
Tidak kita nafikan, sastera itu sendiri merupakan sebuah terapi verbal yang baik. Melaluinya kita akan menemukan sebuah wilayah yang indah, harmoni dan penuh kedamaian. Bahasanya tersusun, memukau serta memikat.
Memang sering kali karya-karya sastera kontemporari dalam apa jua genre secara bertahap memisahkan diri dari akar tradisionalisme dan legasi asal sastera Melayu.
Di tangan penulis-penulis muda seperti Azman khususnya, sesebuah karya sastera bukan lagi nuansa realisme yang bermula daripada genre pastoral yang muncul di Barat pada zaman pencerahan.
Jangan terlalu mengharapkan tema-tema yang mencirikan suasana desa, keindahan sungai-sungai yang jernih mengalir, fauna serta floranya yang penuh nostalgia dan melankolik.
Azman sendiri sama sekali memisahkan tema-tema karyanya daripada gaya penulisan yang terlalu konvensional misalnya yang menyuarakan cerminan hubungan naturalisasi dalam konteks keindahan hubungan manusia dan persekitaran alam semula jadinya.
Menjelang tahun 2000, karya-karya sastera oleh penulis generasi muda kian rencam. Tulisan-tulisan mereka lahir sebagai ekspresi dan impresi daripada pemikiran, persekitaran sosioekonomi, sosiopolitik dan anjakan paradigma masyarakat.
Penulis-penulis muda seperti Azman dan Faisal Tehrani cuba mencari sesuatu yang berbeza dengan arus kepengarangan mapan yang dirintis oleh generasi sebelumnya.
Zaen Kasturi misalnya sangat dominan dalam menampilkan kekuatan seperti terlihat dalam karya Rapsodi. Begitu juga Daeng Ramliakil, Marsli N.O, yang menonjol dari aspek bentuk dan gaya penyampaian tema.
Bagaimanapun Azman cuba mengeluarkan dirinya dari keterikatan konsep penulisan tersebut dengan memaparkan gaya yang nuorosis dan antiklise yang dirintis oleh Zaen dan penulis seangkatannya. Mungkin sastera hanya batu loncatan atau persinggahan sementara. Barangkali tidak apa yang boleh diharapkan daripada sastera dan penulisan kreatif di negara ini.
(utusan malaysia)