admin™
AdminKandang™
BossMung kandang kamben
Hello Hello Hello Goodbye
Posts: 13,619
|
Post by admin™ on Jan 24, 2008 3:50:29 GMT -5
“SAYA kini mantan Sasterawan Negara dan tidak mahu lagi menggunakan gelaran tersebut. Saya juga tidak akan menerima sebarang jemputan ceramah atau program berkaitan Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas).
“Mungkin saya lebih selesa bergerak atas nama individu dalam kegiatan-kegiatan sastera dan jika ada jemputan, lebih baik atas nama peribadi,’’ kata Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.
Beliau menegaskan, tindakan tersebut merupakan aksi demi masa depan generasi sastera dan dunia kreatif di negara ini yang kelihatan semakin terpinggir. Ia berkaitan dengan desas-desus terbaru bahawa karya-karya Sasterawan Negara dan penerima Anugerah Penulisan SEA (SEA Write Award) tidak akan tersenarai sebagai buku yang dicadangkan untuk teks baru Komsas bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada 2010.
Selain itu, semakan tersebut juga tidak menyenaraikan puisi, cerpen, novel dan drama dari pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), hadiah sastera peringkat negeri dan swasta.
Kementerian Pelajaran telah mengumumkan baru-baru ini untuk menukar teks sastera sekolah dengan novel-novel remaja popular seperti karya Ahadiat Akashah.
Antara alasan yang dikemukakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran ialah sebahagian teks sedia ada terlalu berat dan tidak sesuai untuk pelajar di peringkat sekolah menengah.
Sebaliknya, karya-karya popular yang banyak beredar di pasaran tempatan hari ini dapat mengurangkan tekanan dan kebosanan yang dihadapi oleh pelajar.
Hingga kini antara pengarang karya popular yang disenaraikan ialah Ahadiat Akashah, Zaid Akhtar (Mohamad Yazid Abdul Majid) dan Sharifah Abu Salem.
“Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kata, perkara ini (tidak menyenaraikan karya Sasterawan Negara) belum diputuskan dan belum muktamad lagi tapi ia telah tersebar. “Sebagai tindak balas (tidak menyenaraikan karya Sasterawan Negara), saya ada aksi dan tindakan sendiri. Saya tidak akan benarkan ia berlaku begitu sahaja, demi masa depan sastera tanah air,’’ tambah beliau.
Ketika meluahkan perkara tersebut di majlis baca puisi dan naskhah Kata Suara di Galeri RA, Kuala Lumpur baru-baru ini, A. Samad turut menegaskan para pengarang mesti berani mempertahankan hak mereka.
Dalam erti kata lain, seseorang pengarang tidak hanya tahu menulis tetapi juga berani bersuara tentang masa depan bangsa serta negaranya sama ada melalui karya kreatif atau sebaliknya.
Beliau sebagai pengarang yang lebih empat dekad bergelumang dengan dunia kreatif berpendapat, pemilihan karya-karya picisan sebagai sesuatu yang cukup berbahaya kepada pembentukan generasi baru.
Di satu sisi, penggunaan bahasa Melayu yang bersifat rojak (di selang-seli dengan bahasa Inggeris) dan beberapa istilah bahasa pasar dikhuatiri bakal meminggirkan bahasa itu. Di sisi lain, mesej-mesej `remaja’ yang dimuatkan dalam karya-karya tersebut mungkin akan memberi impak negatif kepada para pelajar sekolah.
Kita tidak tahu, sejauh mana merajuknya A. Samad tentang peminggiran karya Sasterawan Negara, penerima SEA Write Award dan pemenang HSPM tersebut. Namun, nada suara kecewa dan sedih yang dilontarkan pada majlis tersebut cukup untuk menjawabnya.
Sementara itu, program sulung Kata Suara tersebut menghadirkan penyair, penyanyi lagu puisi dan penulis blog daripada pelbagai kaum serta latar belakang kerjaya. Seperti yang diungkapkan oleh Pengarah Galeri RA, program bulanan tersebut bertujuan memberi peluang untuk semua penulis menonjolkan kebolehan masing-masing. Pada majlis tersebut, penulis Fazli Ibrahim membaca eseinya yang mengisahkan pengembaraan ke Kaherah, Mesir yang turut menemukan jejak-jejak kepengarangan pengarang besar negara itu, Naquib Mahfouz.
Patricia Low pula membaca puisi dan naskhah monolog Durian yang mengutarakan kritikan sosial terhadap pihak tertentu yang terlalu memikirkan nama dan status.
Dalam pada itu, Rahmat Harun pula menyanyikan lagu puisi Hari-hari Adalah Assyura, Mana-mana Adalah Karbala dan Blues Naik Minyak manakala Haris Zulkapli pula membaca esei The World According to Rock Star dan sebuah lagi esei tentang kritik sosial. Pada majlis tersebut, Ted Mahsun membaca sebuah cerpen berbahasa Inggeris yang mengangkat tema kedai kopi dan Sungai Rokam, Perak.
A. Samad Said ‘menutup’ majlis tersebut dengan membaca puisinya Suara Dari Dinding Madrasah yang mengangkat tema tentang isu sekolah-sekolah agama di negara ini.
Sumber: Utusan Malaysia Online
Kreatif Hasyuda Abadi
|
|
admin™
AdminKandang™
BossMung kandang kamben
Hello Hello Hello Goodbye
Posts: 13,619
|
Post by admin™ on Jan 24, 2008 3:54:47 GMT -5
15 minit ucapan A. Samad LIMA hari lalu, dalam getar suara yang payah, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said berbicara. Ada nada membantah, kecewa dan mungkin juga rasa marah yang tidak diluahkan secara langsung.
Perbicaraan beliau hanya memakan waktu 15 minit. Ia berkaitan dengan karya-karya cadangan sebagai teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada 2010.
Kita kadang-kadang tidak pernah terfikir, 15 minit akan memberi impak besar kepada sebuah peradaban sesebuah bangsa. Manusia tidak mungkin dapat membina sebuah tamadun dalam tempoh sesingkat itu.
Tetapi tempoh 15 minit yang dilontar melalui sebuah ungkapan atau aksi yang dilakukan oleh individu atau kelompok mempunyai erti yang sangat besar. Sejarah telah membuktikan kenyataan ini.
Ada peristiwa yang sangat dramatik pada 22 November 1963 di Amerika Syarikat. Presiden John F. Kennedy ditembak mati. Peristiwa itu berlangsung dalam tempoh yang sangat singkat - cuma beberapa detik tapi telah mengubah senario politik negara itu.
Begitu juga Peristiwa 11 September 2001. Kita tidak pernah membayangkan sebuah tindakan ketenteraan secara unilateral Amerika Syarikat yang menghancurkan banyak peradaban manusia. Kononnya ia dilakukan atas nama menghapuskan keganasan.
Begitu juga dalam konteks A. Samad, 15 minit ucapannya adalah demi sebuah peradaban. Mungkin kita dapat mentafsirkan kata-katanya itu sebagai sebuah protes ketika khalayak sastera Malaysia sendiri begitu sulit memahami kenapa karya picisan disenaraikan untuk Komsas 2010.
Pengarang dan sasterawan adalah lidah masyarakat. Sebutlah siapa sahaja pengarang besar dunia, karya mereka bukanlah sebuah kotak kosong tanpa terisi apa-apa.
Elizabeth Lowry dalam Times Literary Supplement menulis tentang J.M Coetze, pemenang Hadiah Nobel Sastera 2003. Penulis berasal dari Afrika Selatan itu digambarkan oleh Lowry sebagai seorang yang sangat peka terhadap bentuk sebagai sesuatu yang penting dalam sastera, sebagaimana tercermin dalam karya fiksyennya.
Coetze juga cermat dalam menyelusuri pengaruh seorang penulis terhadap penulis lain. Ia mengamati, misalnya, pengaruh Frederich Nietzsche dalam prosa Robert Musil atau Jonathan Swift dalam karya-karya Samuel Beckett.
Buku Coetze, Inner Workings: Literary Essays 2000-2005, sebuah kumpulan eseinya mencatatkan kenyataan ini dengan lengkap. Ia membahas tentang peranan sasterawan sejak akhir abad ke-19 hingga kini.
William Faulkner, Guenther Grass, Gabriel Garcia Marquez, Samuel Beckett, Nadine Gordimer, V.S. Naipaul dan lain-lain, dikupas sebagai lidah-lidah masyarakat yang memayungi kepengarangan mereka.
Dalam esei pertamanya dalam buku itu, beliau menulis tentang Italo Svevo pengarang novel The Confessions of Zeno (1923). Coetze mula-mula melihat latar belakang pengarang itu - anak pedagang Yahudi yang menjadi kaum borjuis.
Beliau lalu mengupas pelbagai pengaruh intelektual yang diterima Svevo, hubungannya dengan James Joyce (yang mengajarinya bahasa Inggeris) dan cita-cita besarnya untuk mengubah masyarakat.
Svevo juga turut memberi makna kembali terhadap psikoanalisis Freud dan perdebatannya dengan teori evolusi Charles Darwin. Lebih jauh, Coetze juga memikirkan alasan Svevo menulis dalam dialek Trieste daripada bahasa Itali.
Pandangan yang sama turut ditemukan dalam A Tranquil Star: Unpublished Stories (2007) karya Primo Levi, penulis esei, puisi, novel dan memoir.
Novelis Anita Desai menulis bahawa Levi sungguh yakin - sebagaimana tergambar dalam tiap cerita dan watak yang diciptakannya bahawa dia dan generasinya hidup ketika kemanusiaan berada dalam keadaan terlalu kacau.
Rangkuman mudah daripada kedudukan Coetze dan Levi tersebut ialah setiap protes atau pandangan seseorang pengarang adalah sebuah pendapat, pandangan dan idealisme untuk kebaikan dan kelangsungan peradaban bangsanya.
Tempoh 15 minit ketika A. Samad duduk di atas kerusi sederhana di Galeri RA, Kuala Lumpur itu cukup untuk menceritakan perjalanan peradaban bangsa ini jika pemikir-pemikir seperti Sasterawan Negara dipinggirkan.
Wajarkah karya-karya picisan yang berorientasikan komersial disenaraikan sebagai teks kajian wajib dalam Komsas, sedangkan karya Sasterawan Negara dipinggirkan dengan alasan yang sangat tidak logik.
Sesekali cuba kita renungkan pendapat pengkritik seni mutakhir, Jonathan Arac - penggiat-penggiat seni adalah manusia-manusia genius yang mampu mengubah mencipta peradaban baru untuk bangsanya.
Sumber: Utusan OnLine
|
|
admin™
AdminKandang™
BossMung kandang kamben
Hello Hello Hello Goodbye
Posts: 13,619
|
Post by admin™ on Jan 24, 2008 3:55:51 GMT -5
sedih melihat sastera kita terpinggir oleh bangsa sendiri... itulah yg terjadi apabila kepala manusia terjajah dengan segala yang ingin dipermudahkan tanpa mempedulikan kehormatan diri yang mereka suka adalah seni iseng2an.. hamprak!!
|
|
admin™
AdminKandang™
BossMung kandang kamben
Hello Hello Hello Goodbye
Posts: 13,619
|
Post by admin™ on Feb 17, 2008 3:50:47 GMT -5
Sokong tindakan Samad Said Oleh A. Rahim Abdullah
Samad Said.
------------ --------- --------- ---
MEMBACA tulisan Azman Ismail (Utusan Malaysia 24 Januari 2008), saya sangat akur dan faham kenapa Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said membuat kenyataan supaya jangan menggunakan gelaran Sasterawan Negara yang dianugerahkan kepada beliau. Kebetulan saya juga berada dalam majlis yang berlangsung pada petang itu. Sebagai Sasterawan Negara yang komited dengan dunia sastera dan bangsanya, beliau amat tersinggung dan memang berhak berbuat demikian. Saya selalu menyebut bahawa nasib sastera kita berada dan dikepung oleh ironi. Dan jauh daripada itu, saya melihat tindakannya atau protesnya itu sangat dalam hikmahnya. Antara lain untuk berkias ataupun mengajar mereka yang berkepentingan dan diamanahkan untuk melaksanakan tugasnya, tetapi gagal atau menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya hingga membawa malapetaka kepada bangsa dan tamadun yang sedang kita bina. Dengan kata lain, kerana berfikiran kelas tiga (ini melanggar hasrat Perdana Menteri yang mahukan pegawai-pegawai kerajaan memiliki minda kelas pertama) maka mustahil dapat kita bina tamadun negara ini dalam jangka masa yang singkat. Bayangkanlah baru 50 tahun merdeka, kita sekarang diserang pelbagai krisis moral dan krisis keyakinan. Apakah dapat kita capai sasaran 2020?
Dapatkah kita bina tamadun Melayu yang panjang sama usianya dengan tamadun Mesir, Yunani atau China? Sedangkan setelah 50 tahun merdeka, tanda-tanda keruntuhan moral dan minda Melayu semakin ketara dan amat dahsyat.
Kalau begitu tidak usahlah kita mimpikan macam-macam slogan: Gemilang, terbilang dan cemerlang. Begitu juga dengan Islam Hadhari hanya pada kulitnya sahaja.
Kita belanja berjuta-juta ringgit menganjurkan kempen Budi Bahasa, tetapi apa untung yang kita nampak sekarang ini?
Celakanya orang Melayu sekarang ini, kerana terlalu banyak membuka pintu masuknya kepada pengaruh asing. Ini juga barangkali kerana sikap tidak apa atau kerana mudahnya orang kita bertolak dan ansur menyebabkan peluang kapitalis pascamoden senang masuk sampai ke dalam rumah kita dan terus menjajah kita anak- beranak.
Bayangkanlah kerana media massa yang berlumba-lumba mengasak kita untuk menyuruh kita jadi kaki hiburan murahan atau pencandu budaya pop ini, soal maruah dan budaya bangsa langsung diabaikan oleh mereka yang terlibat dalam industri hiburan ini.
Misalnya, dalam kuiz menduga akal, soalan bonaza dan sebagainya yang ditawarkan sama ada yang menagih dadah atau suka bertelanjang.
Malangnya yang membuat soalan-soalan negatif itu pun DJ (entah apa sebenarnya maksud DJ, bagi saya bila diterjemah ke dalam budaya kita DJ tetap membawa konotasi yang remeh dan negatif). Sepatutnya juruhebah, penyampai berita atau juruacara atau pengacara memperlihatkan jati diri bangsa berbudaya tinggi dengan bertanya soalan-soalan mengenai tokoh ilmuwan, sarjana pemimpin yang berjasa, ulama, sasterawan dan seniman negara yang cemerlang yang banyak jasanya berbanding soalan mengenai budak-budak rock atau pelakon-pelakon drama swasta yang bercakap Melayu pun tidak betul.
Yang anehnya, mereka yang dibayar gaji sebagai juruhebah itu juga ada yang mengejar glamor. Malahan ada pula yang meletakkan status kejuruhebahannya itu setaraf dengan selebriti atau artis pop Hollywood dengan karpet merah dan harus dilayan macam superstar?
Hal-hal begini kita tidak pernah dengar ia ditegur oleh menteri-menteri yang terlibat dalam bidang penyiaran dan media. Media massa pula mengambil kesempatan ini sehingga mengabaikan kepentingan golongan ilmuwan, budayawan dan intelektual bangsa sendiri! Jadi kita berharap, dengan sikap yang diambil oleh A. Samad Said yang tergamak meletakkan dirinya sebagai “mantan Sasterawan Negara” itu memberi satu tanda penting kepada semua pihak. Akan segeralah tindakan proaktif oleh mereka yang berkepentingan dan bertanggungjawab.
Saya kira, masalah menerbitkan buku teks sastera sekolah menengah ini pun ada kaitannya dengan buku-buku teks sekolah rendah juga, yang dibimbangi akan keluar nanti buku bacaan berunsur sastera, tetapi dipalagiatkan atau diubah suai pihak tertentu atas kepentingan kebendaan. Saya harap dengan adanya pernyataan terbuka ini, pihak BPR harus membuka failnya, supaya dengan cara itu, sekurang-kurangnya kita dapat menyelamatkan masa depan generasi muda kita menjadi mangsa sistem pendidikan yang tempang dan tidak bijaksana.
Saya masih ingat, ketika darjah enam tahun 1960-an dulu, ada buku bacaan kami yang menggunakan teks puisi-puisi bertemakan nasionalisme, karya penyair Indonesia seperti Prof. Muhammad Yamin, Rustam Effendi dan Sultan Takdir Alisjahbana dalam ejaan jawi. Apakah pelajar Melayu zaman baru merdeka seperti saya ini lebih hebat daripada pelajar sekolah menengah masa kini? Malah laporan UPSR dan PMR, kononnya keputusan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris pelajar kita, melebihi tahap sasarannya, maka itu timbul pula alasan karya sastera tinggi berat dan sukar difahami pelajar?
Kalau itu benar, ertinya kita bukan melangkah ke hadapan. Para pemikir dan perancang pendidikan negara sekarang ini harus menerima dosanya, sekiranya anak bangsa kita sepuluh atau lima belas tahun lagi semuanya mempunyai minda pops, jadi pencandu budaya murahan, hilang jati diri, sirna rasa nasionalisme dan patriotismenya dan jahil tentang sejarah negara bangsanya sendiri disebabkan mereka yang menjadi perancang pendidikan itu berfikiran kelas tiga seperti ini?
Saya juga menyeru para pemimpin persatuan penulis seluruh negara, agar bangun bertindak melakukan sesuatu bukan untuk kepentingan peribadi. Tetapi berjuang atas nama persatuan yang mereka pimpin, demi menjaga maruah kaum penulis, bangsa dan negara yang mereka cintai. Sehingga kini, kita tidak dengar lagi sebarang reaksi baik daripada Kementerian Pelajaran, mahupun PPK sendiri.
Begitu juga isu ini akhirnya akan mengalir atau menjangkiti pula ke Kementerian Pengajian Tinggi, apabila di IPT pula nanti akan ada cadangan daripada ilmuan dan perancang bangsa Melayu sendiri, supaya jangan diajar sastera (kononnya sastera tidak menjanjikan masa depan bangsa Melayu)
Kita hairan dengan sikap diamnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang banyak menerbitkan buku sastera tinggi dan karya Sasterawan Negara. Kenapa terus membisu? Yang paling ironinya tidak ada pemimpin politik Melayu seperti UMNO, Pas atau Keadilan yang tampil.
Sumber: Utusan Malaysia Online
|
|
admin™
AdminKandang™
BossMung kandang kamben
Hello Hello Hello Goodbye
Posts: 13,619
|
Post by admin™ on Feb 17, 2008 5:23:23 GMT -5
mereka semua ahli2 politik keparat yang buta hati dan buta minda... yg penting kocek2 mereka penuh wang... dan kuasa supaya mereka boleh laku kan apa saja..
|
|
admin™
AdminKandang™
BossMung kandang kamben
Hello Hello Hello Goodbye
Posts: 13,619
|
Post by admin™ on Apr 2, 2008 23:07:26 GMT -5
dunia buntu menjadi kematu kerana menteri menjadi hantu membuat dasar tidak menentu maka para sasterawan hilang sudah tentu kerana tiada promosi untuk karya itu
|
|
admin™
AdminKandang™
BossMung kandang kamben
Hello Hello Hello Goodbye
Posts: 13,619
|
Post by admin™ on Jun 3, 2008 8:33:09 GMT -5
saya pun belum lagi jadi sasterawan negara mana entah janji2 saya.....hilang ah!!
|
|
admin™
AdminKandang™
BossMung kandang kamben
Hello Hello Hello Goodbye
Posts: 13,619
|
Post by admin™ on Jul 4, 2008 8:15:52 GMT -5
saya pun dah lama berhenti menulis.......... ekekekkeee
|
|
admin™
AdminKandang™
BossMung kandang kamben
Hello Hello Hello Goodbye
Posts: 13,619
|
Post by admin™ on Jan 7, 2009 22:56:58 GMT -5
tetapi saya hanya pandai menulis apa yang saya rasakan....... apa yang telah saya lalui lewat hari2 sepi seorang saya... tapi saya tetap ingin melihat mereka memartabatkan sastera melayu lebih dari novel2 picisan tentang cinta dan perasaan semata2......
|
|
admin™
AdminKandang™
BossMung kandang kamben
Hello Hello Hello Goodbye
Posts: 13,619
|
Post by admin™ on Nov 14, 2011 11:53:11 GMT -5
jajajajajajaja mangkuk ayun koe pittttttttt
|
|