Post by admin™ on Oct 3, 2007 3:36:51 GMT -5
SEMUA kerana cinta. Benar kata orang, cinta buta dan mengenai sesiapa pun. Dan lagi, cinta itu penawar dan cinta itu juga racun. Jika begitu, cinta apakah yang sedang melingkari diriku sekarang?
Kau harus menghormatiku kerana cintamu bukan?
Ya begitulah, cinta itu membawa penghormatan dan kasih sayang bukan?
Ya, kerana aku lelaki, maka aku mesti jatuh cinta kepada perempuan. Juga kerana engkau perempuan, maka kasih sayangmu mesti dicurahkan kepada lelaki.
Sucikah cintamu kepadaku? Entah, mengapa sekonyong-konyong aku ditabrak gelisah dan mendambakan kepastian daripadanya. Kiranya aku seperti dirongrong rasa curiga.
Seperti itu juga, kutanyakan kepadamu? Ya, aku sudah dituruni jaring perangkap yang kupasang sendiri. Sekarang mahu apa aku?
Adakah engkau memaksa aku menurut kehendakmu. Lalu aku tidak punya pilihan. Jika begitu, masihkah engkau menghormati diriku? Ah Maria..., engkau berjaya meletakkan diriku dalam daerah persimpangan yang maha tinggi.
Aku renung wajah lelaki tua ini. Namun kulit wajahnya belum ditandai nama tua. Cuma banyaknya janggut putih, selain yang hitam memaksa aku memilih gelar lelaki tua. Tidak, biarlah aku pada pertengahan, lalu dipanggil dia Paman Tua. Ibuku pernah bilang, tua sebahagian daripada tanda keilmuan yang tinggi. Maka, dengan janggut putihnya, aku wajar mula menghormati keilmuannya. Kopiahnya? Tidak, kerana aku juga memilikinya. Jangan, janganlah dia akan melihat kopiahku untuk merasa jiwanya muda kembali!
Dzul! Pilihlah satu. Cinta kepada dia atau cinta kepada-Nya?
Seluas ini maya pada, namun sekadar itu hak yang dipamerkan di hadapan buat jalan berjuta jauhnya? Benarkah tawaran itu lahir daripada tanda-tanda bertimbun warna putih janggut seorang lelaki atau permulaan politik emosi mana-mana lelaki pun.
Kasih sayang itu abadi. Desahku perlahan. Bukan erti, mula undur langkah.
Hak Allah juga yang abadi.
Dia tidak sekejam itu kepada hamba-Nya.
Lantas....
Jika kuteruskan juga. Dapatkah diterima? Kini aku mengangkat dulang tawaran kepadanya pula.
Gemersik suara dia, tidak mengalahkan sabda junjungan. Pilihlah dia yang bibirnya tebal dan kulit hitam, tetapi agamanya.
Ha, ha, ha, maaflah Paman Tua.
Di manakah mapannya cinta insan? Emm, barangkali nenek itu (maaf, dia belum pantas digelar nenek) dahulunya punya bibir tebal. Punya kulit hitam. Punya daya agama!
Engkau cinta-Nya, engkau akan cinta dia. Yaahh, dia mengulangi lagi.
Dia ahli kitab. Tiba-tiba aku mendapat keyakinan. Mengapa? Barangkali dengan kalimah ‘kitab’. Namun aku tidak akan sengaja-sengaja begini kepada Maria.
Cukuplah anak muda, masa sudah berlalu. Paman Tua senyum-senyum mengejek pendirian baruku.
Ini paksaan. Oh tak mungkin dia dipaksa mengasihi Tuhan. Bukankah telah jelas putih dan hitam? Apakah noktah ini penamat riwayat segala tawaran?
Tidak, tidak akan ke mana-mana lagi. Aku berdiri di tengah-tengah padang luas seolah-olah akan bebas berjalan ke sana ke mari. Tidak, di sinilah aku harus berdiri membazirkan padang dan kreativiti kakiku.
Cintamu tidak akan luntur sekalipun memilih kata-kataku. Mataku cuba menerobosi mata hitamnya. Kata orang, di sana dapat melihat kejituan yang sebenar. Kata orang...!
Dzul, mengapa, sekian lama aku menikmati dan mengharunginya, lalu dengan cintamu kini, aku menghukum salah pendirianku pula? Aku tidak memaksamu ke daerahku. Begitu juga kau, jangan memaksa aku ke daerahmu. Tidakkah itu tanda keadilan?
Hanya lelaki beriman mendapat hak itu. Lelaki beriman. Lelaki beriman. Suara-suara itu merapat dalam diriku. Waktu aku duduk, kalimat-kalimat itu seperti kian menekan dan memberat. Waktu berdiriku, kalimat-kalimat itu seperti kian lebih memberat melawan arus graviti. Kugagahi juga, lalu ketika berdiri menghadap cermin, kutelusuri kalimah beriman berpuluh kali, biar beratus kali, biar kurasa kesudahannya. Biar kutahu, jujurkah cermin ini atau mahu juga berkias-kias bak pujangga.
Adakah engkau yang telah gementar pabila disebut nama-Nya dan bertambah-tambah keyakinan kepada-Nya?
Adakah engkau yang telah melepaskan sebahagian pemberian-Nya tanpa rasa curiga?
Adakah engkau yang telah merelakan tubuhmu dimamah kedukaan kerana mencari dan membela kebenaran?
Adakah engkau yang telah menyungkurkan wajah pada hening malam?
Adakah engkau yang telah memilih rumah-Nya pada waktu kewajipan kepada-Nya berlabuh?
Maria, beri aku tempoh menjawab lima soalan itu. Berjanjilah engkau, jika aku dapat bersabar pada setiap lima waktu, maka engkau juga harus menunggu pada lima waktu. Tidakkah engkau mengingatkan padaku perihal keadilan?
Tidakkah dia bibir tebal dan berkulit hitam? Paman Tua bertanya sambil melurut-luruti janggutnya.
Aku diam. Diam adalah lebih baik daripada berkata-kata yang payah dimengerti.
Pilihlah kerana agamanya, anakku.
Aku sudah berjanji. Menjawab lima soalan. Dia sudah berjanji menunggu pada lima waktu.
Dengan keputusan itu, aku tidak lagi dipaksa berdiri di tengah padang luas tanpa arah. Aku telah memilih jalan ke kanan. Aku akan melangkah satu demi satu sehingga lima langkah. Dan sepanjang lima langkah itu, akan mengambil lima masa. Itu adalah masa kesabaran. Dan menurut perjanjianku dengan Maria, setiap kali aku bergerak selangkah, dia juga akan memahami bagaimana dan apakah sifatnya langkah itu. Dan kerana cintanya, Maria menyerahkan kepadaku untuk aku memilih kadar waktu setiap langkah itu. Dan ini pun dalam perjanjian juga, bahawa setelah tamat semua lima langkah itu, aku menghormati Maria kerana kesabarannya.
Aku khabarkan kepadamu. Aku mahu merasakan kehadiran-Nya dan aku merasakan kelinglunganku. Aku mahu merasakan kebesaran-Nya dan aku merasakan kekerdilanku! Aku mahu merasakan keadilan-Nya dan aku merasa kezalimanku.
Dzul, jika aku berada dalam kafilah Musa yang berkelana jauh dari bumi Fir’aun, lalu aku ditinggalkan di tengah-tengah padang pasir, adakah engkau mengira aku akan menjadi sebahagian daripada pecahan kafilah yang dimurkai-Nya? Jika engkau kian merasa diri dalam kelinglungan, kekerdilan dan kezaliman, aku memilih untuk menemui Musa dan agar disertakan dalam medan pembunuhan gelap malam. Namun, bukan kerana aku sebahagian kafilah kemurkaan-Nya kerana kasih sayangku, pengabdianku.
Aku mahu memiliki dengan ikhtiar tanganku menadah tinggi. Tidak sesekali aku bersorak pesta. Keringat dan keluh desahku adalah sebahagian daya menerima dan memberiku kerana telah kutahu sunah-Nya. Waktu tanganku menadah tinggi, keletihan tanganku itu telah merebahkan pemberian-Nya yang tidak mampu kujawab-jawab lagi. Lalu kukatakan - biarlah, itu menjadi hak-Mu melalui tanganku.
Dzul, jika aku berada dalam pemilihan oleh Isa antara yang 12 orang itu, aku tidak ragu-ragu berada pada garis hadapan. Jika tiada lagi gandum untuk kuserahkan kepada kaum banyak, maka akan kuserahkan buyung kesayanganku. Jika tiada lagi buyung di tanganku, maka ambillah sandalku. Lalu biarlah aku berkata sepertimu, - itu menjadi hakmu melalui tanganku....
Lihatlah tubuhku pada usia muda ini. Inilah kegagahanku yang menjadi harapan mereka yang mengasihiku. Lalu, jika ditiup semboyan nafiri meminta sedekah pejal tubuhku, lepaslah balutan selendang di dada untuk kubina kemegahan di muara, untuk kugerunkan setiap musuhku yang kerananya, aku bisa-bisa saja jatuh tersungkur kerana pembelaanku.
Dzul, jika aku berada dalam kelompok terakhir kafilah yang dikejar-kejar Fir’aun itu, setelah mendarat dari Laut Merah, pastinya aku akan memburu petak hadapanku. Sehingga apabila Musa meminta kader-kadernya menerobos benteng orang Kanaan, aku bukanlah antara orang yang memberi alasan.
Tuhanku, aku yang merasa kuat dan hebat pada siang hari, tiba-tiba dengan ruyupnya mentari aku menjadi resah dan seperti kian mengerdil pada sunyi malam. Oh, jangan Kaulepaskan aku dalam episod ini, yang kurasa jiwaku tidak mungkin ditemui pada dini hari. Tidak akan ditemui lagi kayu ukur untuk direntang antara kekerdilanku dengan kebesaran-Mu Tuhan!
Dzul, aku akan persembahkan korban paling mulia pada mazbah-mazbah pilihan. Akan kupilih altar yang telah ditandai oleh mereka yang terdahulu lalu menjadi umat pilihan Tuhan.
Ini langkah dan masa akhir Maria!
Kini aku pencinta nabi agung akhir zaman. Dia hadir di tengah-tengah keributan zamannya. Dia ditunggu-tunggu manusia yang mahu mengasihi dan memberi bakti. Aku tidak kehilangannya meski terpisah jasad dan waktu. Lalu aku menjadi penerus impiannya. Tuhan, Engkau yang mendengar suara lirihku pada setiap saat seruan dikumandangkan.
Dzul, maafkan aku kerana tidak dapat mengekorimu pada takah ini. Izinkan aku berhenti di khemah kemuliaan Isa. Berpuluh ribu tahun manusia pada geger sehingga hadirnya sang penyelamat, maka aku mengasihinya. Cukuplah kasih sayangku ternoktah kepadanya.
Paman Tua, telah kaudengar kemerdekaan suaranya. Telah kaulihat kesetiaannya kepadaku sehingga empat masa itu. Telah kautelusuri nuraninya hingga ternoktah pada masa yang aku masih meneruskan kembara. Bukankah aku mula menguasai diriku sebagai kehendak penjaga jagat raya. Dan bukankah dia perempuan yang dapat diresapi jiwanya satu persatu. Lalu memberi izin kepadaku.
Maria pulanglah dahulu ke daerahmu, bukan tanda lupusnya cintaku.
Dzul, telah kulihat kesetiaanmu terhadapku. Telah kurasai keikhlasan nuranimu terhadap impianmu.
Telah kuhadapi masa menuruti setiap langkahmu. Jika kau menghantar kupulang, sedang cintaku masih di dadamu, maka berilah lembaran-lembaran warkah yang kaumuliakan sepanjang kembara masa lalu.
Seperti asalnya, aku berdiri kaku di tengah padang luas dan aku telah melangkah ke kanan. Aku meneruskan kembara ke kota. Izinkan kau.
Waktu aku kembali berdiri di hadapan cermin demi menelusuri diri kali kedua, aku puas kerana bayang pada cermin senantiasa jujur.
Dzul, kau pergilah kepada Maria!
Dzul, kini giliranku memberi tawaran kepadamu dalam tempoh waktu yang belum kutentukan.
Hah, aku mendamprat sendirian. Setelah Paman Tua mensimakan pamor, Maria kau hadir mahu membatukan diriku di tengah-tengah kepanasan kota pula?
Dzul, setelah tamat pusingan waktu, kauhadirlah ke sisiku membawa kalungan cinta merdeka. Telitilah jari-jarimu yang lima dan hadirlah kepadaku.
Satu...dua.. .tiga...empat. ..lima!
Dzul, kejujuranmu adalah pergantungan masa depanku. Maka aku merelakan diriku terhadapmu. Cuma sanggupkah kau terus menghormati diriku?
Maria, lembaran-lembaran warkah yang kutitipkan padamu adalah galang ganti penghormatan dan perjanjianku. Jika putih dan hitam adalah hak Tuhan, maka janjiku memuliakan pilihanmu.
Masa seakan-akan terhenti dan bagai keheningan menuju puncaknya. Tapi bagiku biasa saja. Tidak, ini bukan perhitungan antara hidup dan maut, bukan pertempuran Badar antara iman dan kufur. Untukku, habis sudah segenap liku-liku kembara. Antara aku dan Maria, bukan salah satunya bakal berdiri sebagai pemenang. Ya, aku bersaing untuk menang, namun lawanku adalah kejahilan dan kemalasan. Dan setelah menempuh padang luas, berjalan menerobosi ranjau ke kota, ya aku sedang berdiri di kota pada noktah kembara fasa satu.
Saksikanlah syahadahku. Panggillah daku Maryam!
Nurul Mubin Siraj