Post by admin™ on May 31, 2016 8:06:06 GMT -5
Walaupun ramai yang mampu berkahwin, tapi tidak ramai yang mampu menggalas tugas seorang suami dengan baik.
Kegagalan suami dalam melaksanakan apa yang sepatutnya dilakukan akan mengundang murka dan azab Allah SWT. Ini kerana, suamilah nanti yang akan ditanya oleh Allah SWT akan perihal keluarga yang dibimbingnya di Hari Akhirat nanti.
Hal ini telah pun dijelaskan sebagaimana hadis daripada Abdullah Ibnu Umar,
“Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan bertanggungjawab akan orang yang berada di bawah jagaan kamu. Seorang Imam adalah pemimpin dan bertanggungjawab akan orang yang berada di bawahnya. Seorang lelaki (suami) adalah pemimpin terhadap ahli (keluarganya) dan bertanggungjawab akan orang yang berada di bawah jagaannya…” HR Bukhari, no. 893
Merujuk kepada hadis di atas, fahamilah bahawa bukan mudah untuk menjadi seorang suami. Walaupun ramai dalam kalangan anda yang mampu berkahwin, akan tetapi tidak ramai yang mampu menggalas tugas seorang suami dengan baik.
Suami akan dipertanggungjawabkan oleh Allah terhadap ahli jagaan di bawahnya. Sekiranya anak dan isteri melakukan sesuatu yang bersalahan dengan syariat, kemudian suami pula membiarkan perkara itu berlaku tanpa melarang atau menegur, maka tertanggunglah dosa yang dilakukan itu ke atas bahu suami selagi mana tidak berubah dan kembali ke jalan Allah SWT.
Buat para suami, contohi dan meneladani apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ke atas keluarga baginda. Baginda merupakan orang yang paling baik terhadap isteri dan keluarga. Sikap lemah lembut yang ada pada diri baginda menggambarkan layanan yang sempurna diberikan. Hal ini menyebabkan isteri serta ahli keluarga baginda sangat senang dan mesra diperlakukan sedemikian.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah (ummahatul mu’minin), bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Sebaik-baik dalam kalangan kamu adalah orang yang berbuat baik terhadap keluarganya, dan aku adalah orang yang berbuat baik terhadap keluarga.” Taghrib wa al-Tarhib no. 95/3
Bagi yang mempunyai masalah dalam rumah tangga, khususnya dikurniakan suami yang tidak sebaik kita sangka dan harapkan, maka jangan terlalu kecewa serta berduka. Sebelum memarahi suami akan tanggungjawab yang diabaikannya, maka lihat dan muhasabahlah diri terlebih dahulu.
Mungkin ia berpunca daripada perkara tidak baik yang anda lakukan, atau sememangnya anda yang tidak berbaik terhadap suami. Maka anda turut menerima layanan yang tidak baik. Sebelum semuanya menjadi lebih parah, elok kiranya jika perbaiki kembali perhubungan yang hambar dalam keluarga. Agar mahligai perkahwinan yang dibina itu kembali dihiasi dengan kebahagiaan dan keharmonian.
Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan, melainkan anda yang memilih supaya masalah itu berlarutan. Kepada isteri yang mempunyai suami sebagaimana yang didambakan, bersyukurlah kerana dia suamimu.